PERMATANG PAUH 6 Mac - Ceramah pakatan pembangkang di Taman Cermai, dekat sini malam tadi yang dihadiri Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok bertukar kecoh apabila beliau 'dihadiahkan' sebiji telur ayam oleh seorang lelaki tidak dikenali.
Ketika kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu, Teresa baru selesai berceramah dan duduk bersebelahan
bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam,
Steven Sim yang turut hadir di bawah khemah di tepi pentas.
Beliau kemudiannya dihampiri seorang lelaki yang mahu bersalam dengannya dan ketika menghulurkan tangan, telur ayam yang berada dalam genggaman lelaki berkenaan pecah dan terkena tangan Teresa yang juga Pengerusi DAP Selangor.
Keadaan menjadi kecoh apabila orang ramai beranggapan Teresa telah ditampar dan penyokong pakatan pembangkang bertindak mengepung lelaki berkenaan dan memukulnya.
Bagaimanapun, kekecohan itu dileraikan sepasukan anggota polis yang berada di tempat kejadian dan membawa lelaki berkenaan yang berusia 30-an ke Balai Polis Bukit Mertajam yang terletak kira-kira 10 kilometer dari situ.
Teresa yang kelihatan terkejut dengan kejadian itu kemudiannya diiringi ke tandas berhampiran dengan kawalan ketat untuk mencuci tangan dan segera meninggalkan tempat berkenaan dengan sebuah kereta.
Terdahulu, ketika berceramah, Teresa turut menayangkan semula video ONEderfull Malaysia CNY 2014 yang mencetuskan kontroversi dan meminta kira-kira 200 orang yang hadir membuat penilaian terhadapnya.
Katanya, video berkenaan hanya menampilkan isu semasa yang berlaku dalam negara dan disampaikan secara komedi dan tidak menghina mana-mana pihak.
"Dalam video berkenaan, adakah saya mengatakan orang Melayu bodoh, menghina Islam atau Yang di-Pertuan Agong?
"Oleh itu, saya tidak tahu kenapa harus meminta maaf seperti desakan pihak tertentu dan kepada siapa harus saya meminta maaf," katanya.
Menurut Teresa, beliau merupakan sasaran terbaharu musuh politik dan menjangkakan akan menempuh cabaran lebih besar selepas ini.
"Saya tidak tahu apa yang berlaku selepas ini tetapi keadaan mungkin akan lebih teruk," katanya.
Sementara itu, difahamkan lelaki berkenaan yang berasal dari Georgetown dibebaskan kira-kira pukul 1 pagi tadi selepas diambil keterangan dan diikat jamin.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, lelaki berkenaan sudah ditahan dan diambil keterangannya sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
Katanya, insiden membabitkan lelaki yang bekerja di syarikat swasta di negeri ini disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan.
Sumber: http://www.utusan.com.my
No comments:
Post a Comment