RIYADH 8 Mac - Arab Saudi semalam menamakan
pergerakan Ikhwanul Muslimin sebagai sebuah pertubuhan pengganas sama
seperti al-Qaeda sambil memberi amaran mereka yang menyertai dan
menyokong kumpulan itu boleh dipenjara antara lima hingga 30 tahun.
Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi dalam kenyataan memaklumkan, Raja
Abdullah meluluskan pendapat sebuah jawatankuasa yang
dipertanggungjawabkan mengenal pasti kumpulan pelampau kepada satu dekri
diraja, awal bulan lalu.
Dekri itu menghukum mereka yang terlibat dalam konflik di luar negara
ini, menyertai mana-mana kumpulan pelampau atau menyokong mereka.
Dekri diraja itu dibuat berikutan tindakan kerajaan menggubal
undang-undang antikeganasan baharu yang menyasarkan sebarang kritikan
terhadap kerajaan.
Pergerakan Ikhwanul Muslimin mula menjadi sasaran kebanyakan negara
Teluk sejak tentera menggulingkan bekas Presiden Mesir, Mohammed Mursi,
pada 3 Julai tahun lalu.
Arab Saudi sejak itu mengharamkan buku-buku berkaitan pergerakan itu
daripada Pesta Buku Riyadh dan memanggil pulang dutanya di Qatar, negara
penyokong Ikhwanul Muslimin, termasuk Bahrain dan Emiriyah Arab Bersatu
(UAE).
Sementara itu, Ikhwanul Muslimin mengutuk keputusan Arab Saudi tersebut.
"Adalah menjadi satu prinsip kumpulan ini supaya tidak mencampuri
urusan negara-negara lain dan keputusan baharu Arab Saudi nampaknya
telah menjejaskan hubungan antara pergerakan kami dengan negara itu,''
kata kenyataan itu.
Jurucakap Kementerian Luar Mesir, Badr Abdel-Attie dalam perkembangan
berasingan menyambut baik keputusan itu dengan menyifatkannya sebagai
gambaran penyelarasan dan perpaduan antara Mesir dan Arab Saudi. -
AGENSI
No comments:
Post a Comment