MELAKA 8 Mac - Sepasang suami isteri bukan
sahaja mengalami kerugian setelah keretanya ditarik pihak bank kerana
mempunyai bayaran tertunggak selama empat bulan, malah mereka tidak
dibenarkan mengambil barangan berharga di dalam kereta tersebut.
Lebih mengejutkan, pasangan yang menetap di Taman Paya Rumput itu
turut dikasari dua penarik kereta berusia 20-an yang bertindak seperti
samseng apabila melanggar kereta tersebut sebelum merampasnya.
Kejadian malang itu berlaku kira-kira pukul 4 petang Rabu lalu semasa mangsa, Abdullah Saffar, 44, sedang memandu kereta Proton Persona dan membawa tiga anaknya untuk pulang ke rumah.
Menurut Abdullah, penarik kereta itu telah menghimpit dan melanggar
kenderaannya di sebuah simpang berdekatan Kampung Paya Rumput.
"Semasa memberhentikan kereta, dua lelaki yang tidak dikenali keluar
lalu mengetuk cermin sisi kereta saya hingga menakutkan anak-anak yang
ada bersama ketika itu," katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa membuat aduan di
Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional (Pembela BN) negeri di Kota
Cemerlang, Ayer Keroh, di sini semalam.
Yang turut hadir Pengarah Pembela BN negeri, Amir Hamzah Aziz dan peguam Pembela BN, Maz Ridzuan Mohamad.
Abdullah berkata, semasa dia menurunkan cermin sisi bahagian pemandu,
salah seorang lelaki berkenaan merampas kunci keretanya tanpa
menunjukkan pengenalan diri mahupun surat tarik kereta daripada pihak
bank.
"Mereka kemudian menyuruh saya bersama tiga lagi anak keluar dari
kereta itu lalu mengambil gambar kereta sebelum beredar meninggalkan
kami di tempat tersebut.
"Apa yang merisaukan, kedua-dua mereka menghalang saya mengambil
barangan berharga dalam kereta tersebut termasuklah kunci rumah, kunci
sebuah lagi kereta, kelengkapan sekolah anak-anak serta dokumen kerja
termasuk tender projek bernilai RM3 juta," katanya.
Jelas Abdullah, kereta tersebut didaftarkan atas nama isterinya dan
dia mengakui memang kereta tersebut tertunggak bayarannya selama empat
bulan.
"Kami tidak ada masalah jika kereta itu ditarik semula, cuma terkilan
tindakan ala samseng dua lelaki berkenaan yang tidak mengikut prosedur
sebenar malah turut bertindak melanggar kereta saya.
"Tindakan mereka menghalang saya mengambil barangan berharga dalam
kereta itu turut menyebabkan kami sekeluarga menanggung kerumitan
termasuk sukar untuk masuk ke rumah, anak-anak tidak dapat ke sekolah
serta urusan kerja," ujarnya.
Sementara itu, Amir Hamzah berkata, pihaknya akan berhubung
dengan bank berkenaan, polis serta Pejabat Perdagangan Dalam Negeri,
Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) untuk membantu menyelesaikan perkara
tersebut.
"Tindakan menarik kereta mangsa walaupun ia tidak berbayar selama
manapun perlulah mengikut prosedur sebenar dan tindakan penarik kereta
itu menyebabkan mangsa mengalami kesukaran hidup," tegasnya.
Sumber: http://www.utusan.com.my
No comments:
Post a Comment