PUTRAJAYA: Dalam kesibukan petugas media tempatan dan
antarabangsa membuat liputan berita kehilangan pesawat Malaysia Airlines
(MAS) MH370, seorang wartawan TV luar negara mendakwa kehilangan
RM15,000 apabila beg miliknya dicuri di sebuah hotel di sini, Khamis.
Selain wang tunai, Chan Wai Li, lelaki berusia 36 tahun dari Now TV,
sebuah stesen TV swasta Hong Kong itu turut kehilangan dokumen
perjalanan, dompet, kad kredit dan pita rakaman kamera video.
Chan yang merupakan Penolong Pengarang Berita, Now TV mendapati begnya
hilang pukul 4 petang, selepas pulang dari pusat beli belah Alamanda
yang terletak berhampiran dengan hotel itu setelah membeli kad prabayar
bersama dua lagi rakannya.
Beliau membuat liputan berita kehilangan penerbangan MH370 sejak 8 Mac lalu.
Beg galas itu dipercayai dilarikan seorang lelaki yang disyaki sudah berada di sini sejak hari Rabu.
Chan yang kelihatan panik segera memaklumkan kehilangan beg itu kepada
pengurusan hotel dan sejurus selepas itu wajah dan pergerakan suspek
dapat dikesan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
Dalam rakaman CCTV, suspek dalam keadaan mencurigakan sebelum mengambil
beg itu dan meninggalkan hotel itu ketika kebanyakan petugas media sibuk
membuat liputan di ruang lobi hotel.
"Saya tak sangka ada orang yang mengambil kesempatan dan mencuri ketika kita (petugas media) buat liputan berita.
"Ada RM15,000 dan dokumen penting seperti pasport dalam beg itu," katanya kepada pemberita.
Chan membuat laporan polis berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP Abdul Razak Abdul Majid ketika
dihubungi mengesahkan menerima laporan polis berhubung kejadian itu.
Polis mengerakkan sepasukan enam anggota termasuk tiga anggota forensik
dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya bagi menyiasat kes
kehilangan beg wartawan dari Hong Kong itu.
Pasukan itu yang
tiba kira-kira 8.30 malam, melakukan pemeriksaan kira-kira 30 minit di
lobi sebuah hotel, iaitu tempat terakhir mangsa meletakkan begnya ketika
membuat liputan berkaitan kehilangan pesawat MH370 milik Malaysia
Airlines (MAS) sejak 8 Mac lepas.
Sementara itu di Sepang,
jurufoto agensi berita antarabangsa European Press Agency (EPA)
Shamshahrin Shamsudin hilang satu set kamera digital bernilai anggaran
RM20,000 di sebuah hotel di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA).
Shamshahrin, 43, berkata kecurian itu berlaku selepas beliau selesai
melakukan liputan sidang akhbar harian berkenaan kehilangan pesawat
berkenaan.
"Pada 7.20 malam, selepas saya siap kerja-kerja saya
dan menunggu rakan menyudahkan kerjanya, saya menerima panggilan
daripada anak dan saya meninggalkan kamera saya berserta barangan lain
termasuk lens di dalam beg dan diletakkan bersebelahan kawan saya itu.
"Selepas 20 minit menjawab panggilan, saya kembali ke tempat kawan saya
berada, namun menyedari kamera saya berserta lens telah hilang,"
katanya kepada Bernama.
Pemangku Presiden Persatuan Jurufoto
Media Malaysia (MPPA) Norhaizat Abdul Samad dalam satu kenyataan Khamis
malam berkata kamera itu didapati dilarikan seorang suspek yang berada
di ruang lobi hotel kira-kira pukul 7 malam berdasarkan rakaman kamera
litar tertutup (CCTV) yang dapat mengakses wajah suspek.
Beliau
berharap keselamatan di kawasan itu dapat dipertingkatkan memandangkan
sejumlah besar jurufoto dan media bertugas membuat liputan berita
kehilangan pesawat itu, termasuk media antarabangsa.
Sumber: http://www.astroawani.com
No comments:
Post a Comment