
PETALING JAYA – Kartunis Zunar
menimbulkan kemarahan ramai berhubung komiknya dalam Washington Post
yang mempersendakan Perdana Menteri dan usaha multinasional dalam usaha
mencari pesawat hilang Malaysia Airlines MH370.
Komik tersebut yang menggelarkan Datuk
Seri Najib Tun Razak sebagai ‘terlalu lemah’ kerana usaha mencari
pesawat yang hilang memasuki ‘minggu kedua’ mencetuskan kemarahan
pelbagai pihak.
Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan
Hal Ehwal Antarabangsa Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak menyifatkan
komik Zunar sebagai tidak sensitif dan mengelirukan.
Beliau berkata dakwaan Zunar bahawa Malaysia menyembunyikan fakta-fakta adalah tidak munasabah.
“Adalah mustahil untuk
menyembunyikan fakta-fakta apabila tentera multinasional sama-sama
mengambil bahagian membantu dalam misi mencari dan menyelamat,” kata
beliau sambil menambah tindakan itu sebaliknya akan mencerminkan
ketelusan yang besar.
“Sains dan teknologi yang digunakan
dalam misi mencari dan menyelamat, serta maklumat yang dikeluarkan
berdasarkan fakta dan bukti kukuh, bukan berdasarkan spekulasi dan
tuduhan liar semata-mata,” katanya.
Beliau berkata negara-negara maju juga
telah terlibat dalam carian menggunakan kepakaran dan aset canggih
negara masing-masing untuk membantu mengesan Boeing 777-200 yang membawa
239 penumpang dan anak kapal yang hilang pada 8 Mac.
Prof Mustafa berkata demikian sebagai
respon kepada komik Zunar yang dicatatkan pada bahagian Comic Riffs,
Washington Post berserta artikel “Cartoon of the Day: Malaysian artist
on the lost jet – and his government’s ‘weak’ response to it” yang
disiarkan pada 18 Mac.
Zunar, atau nama sebenarnya Zulkiflee
Anwar Ulhaque mendakwa kerajaan cuba menyalahkan juruterbang pesawat
hilang untuk menutup kelemahan mereka selepas pendedahan bahawa ketua
juruterbang itu adalah penyokong Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar
Ibrahim.
Prof Mustafa berkata perkara itu tidak patut dipolitikkan kerana ia melibatkan kehidupan dan kesejahteraan manusia.
Presiden Kelab Warisan Malaysia Mohd Khairul Azam Abdul Aziz juga mengecam Zunar kerana menghina Najib.
“Perdana Menteri kita telah membuktikan
keupayaan diplomatik kerana beliau telah berjaya mendapat bantuan dari
begitu banyak negara untuk membantu dalam pencarian menggunakan bajet
mereka sendiri.
“Itu menunjukkan bahawa Najib bukan pemimpin yang lemah,” katanya.
Mohd Khairul, yang juga seorang peguam
berkata dakwaan Zunar bahawa Najib hanya memberi kenyataan pada hari
ketujuh pesawat hilang adalah tidak benar kerana beliau telah pun
memanggil satu sidang akhbar pada hari pertama kapal terbang hilang
dilaporkan.
Beliau juga membidas Washington Post
untuk memberi ruang kepada orang ramai untuk membuat
kenyataan-kenyataan
yang tidak berasas.
“Apabila empat penerbangan komersial
telah dirampas pada masa yang sama di Amerika Syarikat sebelum serangan
menara berkembar pada tahun 2001 , media di bahagian-bahagian lain di
dunia tidak mempersendakan kerajaan Amerika Syarikat,” katanya. – mStar Online
Sumber: http://rx.hu/4LhY
No comments:
Post a Comment