
SEPANG – Insiden kehilangan pesawat MH370 milik Malaysia
Airlines (MAS) awal hari ini tidak menjejaskan operasi penerbangan di Lapangan
Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS, Ahmad Jauhari Yahya berkata semua
perkhidmatan di lapangan terbang itu berjalan seperti biasa dan tiada sebarang
pembatalan jadual penerbangan.
Bagaimanapun beliau berkata pengurusan MAS telah menyediakan ruang di Anjung
Tinjau di aras lima, KLIA untuk mengumpulkan semua anggota keluarga penumpang
yang terlibat bagi memaklumkan perkembangan terkini insiden itu.
Setakat pukul 3 petang ini 80 peratus anggota keluarga penumpang telah
dimaklumkan oleh MAS berhubung perkembangan terkini kehilangan pesawat itu yang
telah menimbulkan pelbagai spekulasi.
“Semua operasi berjalan lancar seperti biasa. Di aras lima, KLIA (Anjung
Tinjau) kita menyediakan sebuah pasukan untuk mengumpulkan dan memberikan
maklumat terkini kepada ahli keluarga penumpang,” katanya pada sidang media di
sini hari ini yang turut dihadiri pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri
Hishammuddin Tun Hussein.
Tinjauan Bernama di KLIA mendapati aktiviti ketibaan dan pelepasan penumpang
ke destinasi masing-masing berjalan seperti sedia kala.
Penerbangan MH370 yang membawa 239 penumpang, terdiri 227 penumpang termasuk
dua bayi dan 12 kru pesawat dilaporkan hilang di antara ruang angkasa Malaysia
dan Vietnam di perairan Laut China Selatan dengan operasi mencari dan menyelamat
masih berterusan.
Pesawat itu terakhir dikesan pada pukul 1.30 pagi tadi di garisan bujur
065515 utara dan 1033443 timur di perairan Laut China Selatan.
Terdahulu Hishammuddin berkata pasukan Tentera Udara dan Tentera Laut
Malaysia telah digerakkan ke kawasan perairan tersebut yang turut disertai
agensi berkuasa dari China, Filipina, Vietnam dan Indonesia.
Orang ramai boleh menghubungi talian 03-78841234 manakala media boleh
menyalurkan pertanyaan mereka melalui talian 03-8775698 atau 03-87871276 atau
melayari laman web MAS di www.malaysiaairlines.com.
– BERNAMA
Sumber: http://rx.hu/hznY
No comments:
Post a Comment