KUALA LUMPUR: Sudah hampir seminggu sejak kehilangan
Pesawat MH370 Penerbangan Malaysia dari Kuala Lumpur ke Beijing pada
Sabtu lalu dan pasukan pencari dan penyelamat masih gagal merungkaikan
misteri kehilangan pesawat tersebut.
Malah, teori yang
mengatakan bahawa kapal terbang tersebut mungkin telah terbang menuju ke
Laut Andaman selepas hilang dari radar itu juga sukar untuk disahkan
kesahihannya.
Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk
Azharuddin Abdul Rahman mengatakan meskipun maklumat dari radar Tentera
Udara DiRaja Malaysia (TUDM) membayangkan bahawa kapal terbang tersebut
cuba berpatah balik, namun masih tidak dapat dipastikan secara
keseluruhannya bahawa plot misteri yang dikatakan muncul dalam radar
tentera berhampiran Pulau Perak di Kedah itu ialah pesawat MH370.
“Maklumat dari Panglima TUDM pada Sabtu lalu sangat jelas terdapat
indikasi bahawa pesawat MH370 itu berkemungkinan berpatah balik selepas
terputus komunikasi dengan menara kawalan udara di Subang namun begitu,
ianya tidak dapat dipastikan 100 peratus bahawa pesawat tersebut adalah
pesawat MH370 yang hilang itu,” katanya pada sidang media di sebuah
hotel di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Namun begitu, operasi mencari dan menyelamat kini telah pun di
perluaskan hingga ke Selat Melaka dan kawasan-kawasan yang berada diluar
selat tersebut.
Sementara itu, Pemangku Menteri Pengangkutan,
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata dari Ahad lalu, Malaysia
telah bekerjasama dengan pelbagai agensi antarabangsa dan tentera
termasuk dari Amerika Syarikat.
“Malah, kawasan mencari dan
menyelamat ini juga telah diperluaskan hingga ke Laut Andaman dan kita
telah meluaskan juga gerakan mencari dan menyelamat ini sebelah timur
hingga ke Lautan Hindi,”.
Menurutnya, siasatan pada lazimnya
akan mengecilkan skop apa jua bukti dan penemuan, namun untuk siasatan
seperti ini ianya telah memaksa pihak Malaysia untuk terus melihat
sejauh mungkin kemungkinan dan bukti-bukti yang ditemui.
Dalam pada itu, saintis China mendakwa mereka telah mengesan satu
“aktiviti gegaran” pada dasar laut Vietnam dan Malaysia pada 8 Mac lalu
dimana dipercayai ianya konsisten dengan bunyi pesawat terhempas.
Kemungkinan tersebut juga dipercayai mempunyai kaitan dengan pesawat MH370 yang masih hilang.
Penyelidik dari Universiti Sains dan Teknologi China mendakwa mereka
mengesan gegaran tersebut pada hari yang sama pesawat Boeing 777-200 itu
dilaporkan hilang dari radar, iaitu kira-kira 120 batu nautika dari
Kota Bharu, Kelantan.
Dalam satu kenyataan yang disiarkan dari
laman sesawang universiti berkenaan menerusi akhbar South China Morning
Post, satu gegaran kecil berlaku pada dasar laut kira-kira 150 kilometer
dari selatan Vietnam pada jam 2.55 pagi.
Namun begitu, tiada pengesahan berkenaan dakwaan tersebut dilakukan dari pihak China, Vietnam mahupun Malaysia.
Sehingga kini, gerakan mencari dan menyelamat telah melibatkan
penggunaan 57 kapal dan 48 kapal terbang dan helikopter dari tentera dan
agensi penguatkuasaan maritim dari 13 buah negara
Sumber: http://www.astroawani.com
No comments:
Post a Comment