MADRID - Jaringan tunggal Pedro Rodriguez sudah cukup untuk memastikan Sepanyol menang 1-0 ke atas Itali dalam perlawanan terakhir mereka sebelum jurulatih Vicente del Bosque menyenaraikan pemain yang akan mempertahankan kejuaraan Piala Dunia mereka di Brazil.
Penyerang Atletico Madrid, Diego Costa membuat penampilan sulung untuk Sepanyol di Stadium Vicente Calderon dalam perlawanan yang seperti pertemuan ulangan di antara kedua-dua pasukan itu dalam final Euro 2012 yang menyaksikan Sepanyol akhirnya mempertahankan kejuaraan mereka.
Bagaimanapun, Costa gagal memberikan impak besar sebaliknya penjaring terbanyak Sepanyol, Pedro berjaya menyinar apabila percubaannya berjaya menewaskan Gianluigi Buffon selepas pemainan memasuki tempoh sejam.
Sepanyol akan beraksi dalam dua lagi perlawanan persahabatan, menentang Bolivia dan El Salvador pada penghujung musim saingan liga sebelum memulakan kempen Piala Dunia dengan perlawanan pembukaan menentang pasukan yang ditewaskan dalam perlawanan akhir Piala Dunia 2010, Belanda pada 13 Jun.
"Saya gembira dapat melakukan penampilan sulung bersama Sepanyol dan berjaya mencatat kemenangan selain meningkatkan keyakinan.
"Pengurus pasukan percaya kepada saya dan saya akan beraksi sebaik mungkin seperti di Atletico agar saya dapat menyertai pasukan kebangsaan dalam keadaan terbaik.
"Saya tahu beberapa perlawanan awal bukan sesuatu yang mudah dan saya tahu saya boleh melakukan dengan lebih baik. Saya akan terus bekerja keras untuk beraksi sebaik mungkin," kata Costa kepada televisyen Sepanyol, Telecinco.
Meskipun gagal menjaringkan gol tetapi Del Bosque gembira dengan Costa apabila dia berjaya beraksi selama 90 minit.
"Kami sangat gembira dengannya, dia tidak menjaringkan gol tetapi bekerja sangat keras dan telah berusaha sebaik mungkin untuk pasukan," katanya.
Sementara itu, pengendali Itali, Cesare Prandelli mengakui Sepanyol memiliki kekuatan fizikal dan teknikal yang lebih baik berbanding mereka.
"Saya harapkan pasukan ini akan lebih baik dari segi fizikal. Ia jelas menunjukkan Sepanyol lebih kuat tetapi apabila berhadapan pasukan yang memiliki kualiti yang lebih baik, ia memang sesuatu yang sukar.
"Apabila mereka terlepas bola, mereka akan mendapatkan semula dengan cepat dan kami tidak memiliki kualiti seperti itu.
"Perlawanan ini menunjukkan pasukan ini perlu berubah dan masih ada masa sebelum Piala Dunia untuk kami lakukan," katanya.
Sepanyol memulakan aksi dengan baik dan hampir menjaringkan gol kira-kira 80 saat permainan berlangsung melalui pemain pertahanan kiri, Jordi Alba yang memaksa Buffon bekerja keras untuk menyelamatkan pintu golnya.
Pasukan pelawat kemudian hampir berada di hadapan apabila hantaran silang Alessio Cerci terkena palang dan berjaya diselamatkan Iker Cassilas.
Kedua-dua pasukan masing-masing melakukan tiga pertukaran semasa waktu rehat dengan Sepanyol memasukkan David Silva, Xabi Alonso and Victor Valdes manakala Andrea Pirlo, Ignazio Abate dan Mattia de Sciglio bagi pasukan Prandelli. - AFP
Sumber: http://www.utusan.com.my
No comments:
Post a Comment