
KESAN pencemaran minyak di pantai kawasan hutan paya laut Tanjung Piai.
WALAUPUN mempunyai lokasi yang cukup unik sebagai titik paling selatan benua Asia, Tanjung Piai sebenarnya sedang bergelut dengan masalah hakisan dan pencemaran pantai yang amat kritikal.
Tersenarai sebagai kawasan paling teruk mengalami hakisan di negara ini, masa depan taman negara seluas 947 hektar itu kini seumpama telur di hujung tanduk.
Melihat ancaman yang sudah pun dikategorikan berada pada peringkat 'merah' sejak sedekad lalu, sesiapa sahaja boleh meramal apakah nasib yang bakal menimpa destinasi pelancongan popular di Pontian itu.
Pengurus Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ), Khalid Zahrom berkata, hutan paya laut khususnya di kawasan Taman Negara Tanjung Piai akan lenyap dalam masa kira-kira 10 tahun jika ancaman hakisan tidak dikawal.
Khalid berkata, sepanjang sembilan tahun bertugas di situ, beliau sudah menyaksikan lebih daripada 100 meter kawasan hutan bakau musnah akibat hakisan.
"Hakisan terus mengganas. Dulu hakisan 'makan' lebih kurang setengah meter hutan setahun, tetapi sekarang meningkat menjadi 13 meter setahun.
"Sekarang hutan bakau dari darat ke pantai hanya tinggal kira-kira 600 meter. Bayangkan apa yang akan tinggal tidak lama lagi," katanya ketika ditemui di pejabat Taman Negara Tanjung Piai baru-baru ini.
Menurut Khalid, Tanjung Piai terdedah kepada masalah hakisan yang serius disebabkan oleh kedudukannya di laluan kapal paling sibuk di dunia.
"Kapal-kapal kargo yang melalui perairan ini sebenarnya menjana arus bawah air yang kuat walaupun tidak jelas di mata kita.
"Arus yang lebih kuat pula terhasil bila ada kapal yang mula bergerak selepas berlabuh di perairan ini," katanya.
Menurutnya lagi, selain kesibukan kapal di Selat Melaka, Tanjung Piai yang terletak di antara tiga selat iaitu Selat Johor, Selat Singapura dan Selat Melaka turut diancam pertembungan arus selat yang berlaku secara semula jadi.
Selain musnah dimamah arus, kawasan hutan paya laut yang merupakan benteng pertahanan pantai turut dicemari sisa minyak dan sampah sarap.
Khalid berkata, masalah tersebut terus berlaku kerana kesukaran pihak berkuasa mengesan pembuangan minyak oleh kapal-kapal kargo yang melalui perairan itu.
"Memang sukar untuk mengesanmereka kerana minyak yang dibuang diisi ke dalam beg plastik sebelum dicampak ke laut.
"Beg berisi minyak itu biasanya akan pecah di dasar laut selepas beberapa hari. Sudah pasti pelakunya sudah jauh meninggalkan negara ini," katanya.
Sebagai usaha mengatasi masalah hakisan yang mula meruncing sejak 2001 itu, pelbagai kaedah telah dilakukan termasuk pemasangan guni berisi pasir, benteng penghadang ombak serta penanaman semula pokok bakau.
Beliau berkata, sehingga kini pihaknya masih tidak menemui cara yang paling efektif untuk mengatasi masalah itu.
"Secara kesimpulannya, Johor mungkin akan hilang satu daripada enam taman negaranya jika langkah sewajarnya tidak dilakukan," katanya.
No comments:
Post a Comment