affiliate program Media Hari Ini Bersuara
Custom Search

Wednesday, March 26, 2014

MH370: Speaker Tegur Pembangkang Bangkit Pelbagai Teori

MH370: Speaker Tegur Pembangkang Bangkit Pelbagai Teori


Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia menegur ahli-ahli parlimen pembangkang kerana terus membangkitkan macam-macam soalan berkaitan tragedi pesawat MH370 di Parlimen.

Beliau khuatir kenyataan yang dibuat akan menambah kekusutan sedangkan kerajaan sedang berusaha bersungguh-sungguh bagi mengetahui punca sebenar kejadian itu.

“Saya sendiri pun ingin tahu. Ada masa sampai jam 2 pagi belum tidur tengok berita luar negara. Kita harus sedar, negara kita kecil dan ada macam-macam kekangan sebab itu saya bersabar,” katanya.

Beliau menegur ahli parlimen PAS Shah Alam Khalid Samad yang mendesak timbalan menteri Pertahanan, Datuk Abdul Rahim Bakri menjelaskan mengenai insiden MH370 membabitkan soal radar TUDM yang mengesan pesawat tidak dikenali pada malam kehilangan MH370 tetapi lewat memaklumkannya.
Menurut Pandikar Amin, banyak yang rakyat ingin tahu mengenai kejadian tersebut.

“Bila tanya (timbalan) menteri, tidak semua boleh dijawab. (Saya khuatir) Ada yang keluar dari mulut Yang Behormat akan tambah kekusutan…jangan perkembangluaskan,” ujarnya ketika persidangan menggulung perbahasan ucapan terima kasih titah Agong oleh Kementerian Pertahanan.

Beliau menasihatkan ahli-ahli parlimen menunggu keputusan kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) atau Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) berhubung perkara itu.

“Saya sendiri setuju (tubuh RCI dan PSC). Biar ahli-ahli Yang Berhormat yang banyak teori ini dilantik dalam jawatankuasa berkenaan. Buatlah rumusan yang canggih-canggih, yang belum kita dengar. Saya juga ternanti-nanti,” ujar beliau. –bnbbc.my


Sumber: http://adf.ly/glKJh

Lebih Ramai Hubungi Firma Guaman Chicago Untuk Saman Boeing Dan MAS

Lebih Ramai Hubungi Firma Guaman Chicago Untuk Saman Boeing Dan MAS


Lebih ramai keluarga penumpang MH370 menghubungi firma guaman yang berpangkalan di Chicago untuk membantu mereka memfailkan saman terhadap pembuat pesawat itu, Boeing dan Malaysia Airlines (MAS) kerana yakin tragedi berlaku kerana kegagalan mekanikal.

Keluarga – dari China, Malaysia dan Indonesia – adalah yang terakhir menghubungi Ribbeck Law Chartered, iaitu pakar undang-undang penerbangan, selepas firma itu memfailkan petisyen penemuan dalam Mahkamah Negeri Circuit of Cook, Illinois, bagi pihak Dr Januari Siregar yang hilang anak berusia 25 tahun apabila pesawat MH370 terhempas.

Dr Januari yang juga seorang peguam, menghubungi Ribbeck kerana dia bekerja dengan mereka semasa pesawat Garuda Indonesia terhempas lima tahun lalu.

Petisyen itu bertujuan untuk mendapatkan rekabentuk dan pembuatan bermasalah yang mungkin menyebabkan tragedi melibatkan 239 penumpang dan anak kapal di atas pesawat itu.

Seramai 239 penumpang di atas pesawat itu termasuk 153 warganegara China dan 12 anak kapal yang semuanya rakyat Malaysia.

Pemfailan ini, kata Ketua Litigasi Penerbangan Global Ribbeck, Monica Kelly, adalah tindakan pra-litigasi untuk mengenalpasti pihak yang bertanggungjawab dalam tragedi itu.

Boeing dinamakan sebagai defendan pertama manakala MAS, sebagai syarikat penerbangan dinamakan sebagai defendan kedua.

“Kami yakin kedua-dua defendan bertanggungjawab ke atas tragedi pesawat MH370,” kata Kelly.

Beliau mendedahkan, pihak yang terlibat mempunyai masa 30 hari untuk menjawab petisyen ini, di mana selepas ini firma itu akan memfailkan saman bernilai jutaan ringgit bagi pihak keluarga terhadap mereka yang bertanggungjawab.

“Kami jangka akan mewakili lebih 50% daripada keluarga penumpang yang berada di atas pesawat itu,” tambahnya.

“Keluarga nampanya menerima hakikat bahawa pesawat itu terhempas dan mereka sedia menerima punca sebenar mengapa ia berlaku dan tindakan ini akan memberikan mereka maklumat.

“Kami akan buktikan kegagalan mekanikal dalam rekabentuk pesawat adalah punca kapal terbang ini terhempas,” katanya.

MH370, pesawat Boeing 777-200ER, hilang daripada radar pada 8 Mac selepas terbang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Beijing.

Selepas 17 hari pencarian, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan berdasarkan bukti baru, pesawat MH370 itu berakhir di selatan Lautan Hindi, tenggara Perth, Australia, tanpa ada yang terselamat.

Bagaimanapun, tiada sebarang cebisan ditemui sehingga kini walaupun beberapa satelit berjaya merakam objek di kawasan dinyatakan.


Sumber: http://adf.ly/glKJh


MH370: TUDM Sangka Pesawat Diarahkan Menara Kawalan Untuk Berpatah Balik

MH370: TUDM Sangka Pesawat Diarahkan Menara Kawalan Untuk Berpatah Balik


KUALA LUMPUR – Pesawat yang tidak dikenali dan berpatah balik sebenarnya dikesan pada radar utama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) beranggapan ia mungkin berbuat demikian kerana menerima arahan menara kawalan trafik udara.

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri berkata pesawat tersebut boleh menerima arahan tertentu dari menara kawalan dan melencong ke laluan lain jika dikehendaki tetapi keadaan tersebut bukan sesuatu yang memerlukan tindakan daripada TUDM walaupun ia dikesan di radar utama.

“Kita mengesan (keadaan) berpatah balik itu tetapi tidak menganggap sebagai musuh dan ia adalah mesra pesawat dan mungkin menerima arahan dari menara kawalan, tetapi apa yang kita lihat akhirnya ia (pesawat) hilang (dari radar) di Laut Andaman atau Utara Selat Melaka.

“Untuk makluman bahawa radar kita hanya boleh mencerap sekitar 250 batu nautika sahaja, sebenarnya mana-mana radar di dunia pun hanya boleh mencerap sejauh 250 batu nautika sahaja,” katanya semasa menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Diraja di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Pada 8 Mac lalu, pesawat Malaysia Airlines MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal berlepas dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing, hilang daripada skrin radar, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Radar utama milik TUDM pula dilaporkan mengesan sebuah pesawat membuat pusingan balik di lokasi sama di mana pesawat MH370 hilang dari radar kedua. Abdul Rahim bagaimanapun menafikan bahawa TUDM mengambil masa untuk mengumumkan bahawa radarnya mengesan tindakan berpatah balik oleh pesawat yang tidak dikenali itu pada masa yang sama dengan waktu kehilangan MH370.

“Kerana kita berpendapat pusat kawalan udara sama ada di Subang atau KLIA mungkin sedang melakukan prosedur operasi standardnya (SOP) untuk mengesan pesawat itu, dan kita (TUDM) juga melakukan SOP kita untuk mengesannya,” katanya.

Katanya, TUDM atau pihak berkuasa tidak boleh mengumumkan sebarang maklumat yang tidak dapat disahkan 100 peratus kesahihannya dan semua maklumat pada masa itu perlu diteliti dan diperhalusi agensi pakar Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) dan Cawangan Siasatan Kemalangan Udara (AAIB).

Selepas usaha mencari dan menyelamat masuk hari ke-17, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin mengumumkan bahawa berdasarkan siasatan syarikat satelit Inmarsat dan AAIB United Kingdom, penerbangan MH370 telah berakhir di selatan Lautan Hindi. – BERNAMA



Sumber: http://adf.ly/glKJh

SEGERA: Terdapat 122 Objek Dikesan Data Satelit Baru Perancis Di Lautan Hindi

SEGERA: Terdapat 122 Objek Dikesan Data Satelit Baru Perancis Di Lautan Hindi


AGENSI Remote Sensing Malaysia (ARSM) telah menerima data imej satelit baru dari Airbus Defence and Space di Perancis semalam berkaitan objek yang ada kemungkinan datang dari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.
Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata imej berkenaan telah dirakam pada Ahad lepas.
“ARSM telah membuat analisis ke atas data terbaru satelit berkenaan yang menunjukkan satu kawasan di Lautan Hindi dengan keluasan kira-kira 400 km persegi menunjukkan 122 objek berpotensi dari MH370.
RemoteSensing
“Sesetengah objek bersaiz kira-kira 1 meter panjang dan objek lain ia bersaiz berbeza, sesetengah objek berwarna terang yang dijangkakan bahan berupa pepejal, ia dikesan kira-kira 2,557km dari Perth, Australia,” kata Hishammuddin dalam sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Menurut beliau informasi itu segera diberikan kepada pihak berkuasa Australia yang mengetuai operasi mencari dan menyelamat (SAR) di koridor Selatan di Lautan Hindi.

“Maklumat data satelit yang diterima ARSM segera diberikan kepada Pusat Koordinasi Menyelamat Australia di Perth semalam,” katanya.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata perlu diingatkan kesemua objek berkenaan masih belum boleh disahkan daripada peswat MH370 tetapi ia adalah satu lagi petunjuk baru dalam mengesan pesawat berkenaan.

“Kita masih belum boleh membuat pengesahan objek berkenaan adalah serpihan pesawat MH370 bagaimanapun ini adalah satu lagi petunjuk baru yang akan membantu operasi SAR pesawat MH370,” katanya.

Dengan kemasukan data satelit dari Airbus berkenaan, sehingga kini terdapat empat petunjuk data imej satelit telah diterima dari Australia, China dan Perancis dengan menunjukkan objek yang berkemungkinan adalah serpihan pesawat itu.

Operasi SAR MH370 masuk hari ke-19 hari ini selepas pesawat MH370 dilaporkan hilang pada 8 Mac lepas ketika dalam penerbangan ke Beijing dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pesawat itu membawa 239 penumpang termasuk anak kapal dikendalikan oleh juruterbang MAS Kapten Zaharie Ahmad Shah dan pembantu juruterbang Pegawai Pertama Fariq Abdul Hamid.


Sumber: http://adf.ly/glKJh

MH370: M’sia Terus Rapatkan Hubungan Dengan China, Keselamatan Kedutaan Terkawal

MH370: M'sia Terus Rapatkan Hubungan Dengan China, Keselamatan Kedutaan Terkawal

Malaysia dan China akan terus bekerjasama rapat dalam usaha mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, yang laluan penerbangannya berakhir di selatan Lautan Hindi, kata Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak.

Dalam tulisan terbarunya melalui Facebook, Najib berkata beliau mengadakan perjumpaan dengan Naib Menteri Hal Ehwal Luar China Zhang Yesui di Parlimen hari ini untuk berbincang tentang tindakan seterusnya mengenai usaha mengesan pesawat Boeing 777-200ER yang hilang itu.

“Saya mengadakan perjumpaan dengan Naib Menteri Hal Ehwal Luar Republik Rakyat China Yang Berbahagia Zhang Yesui di Parlimen untuk membincangkan tindakan selanjutnya,” kata beliau.
Najib juga menulis melalui laman tweeternya @NajibRazak tentang perjumpaan beliau dengan Zhang, yang juga duta khas Kerajaan China.

Sementara itu, Zhang juga melakukan kunjungan hormat terhadap Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Penerbangan MH370 dengan 227 penumpang dan 12 anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada pukul 12.41 tengah malam 8 Mac dan hilang daripada skrin radar kira-kira sejam kemudian ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari sama.

Sebanyak 154 daripada 227 penumpang penerbangan itu adalah rakyat China. Operasi mencari pesawat itu, melibatkan pelbagai negara dilancarkan, pada mulanya di Laut China Selatan dan kemudian, setelah didapati pesawat itu mengubah laluannya, di dua koridor – koridor utara yang merentas dari sempadan Khazakhstan dan Turkmenistan hingga ke utara Thailand dan koridor selatan dari Indonesia hingga ke selatan Lautan Hindi.

Hasil analisis terhadap data satelit yang belum pernah dibuat sebelum ini, syarikat dari United Kingdom Inmarsat dan UK Air Accidents Investigation Branch (AAIB) membuat rumusan bahawa Pesawat MH370 terbang di sepanjang koridor selatan dan kedudukan terakhirnya adalah di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth, Australia.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pada 24 Mac, 17 hari selepas kehilangan pesawat itu, bahawa Penerbangan MH370 “berakhir di selatan Lautan Hindi”

DALAM pada itu eselamatan Kedutaan Malaysia di Beijing dilaporkan terkawal selepas ahli keluarga serta waris penumpang dari China mengadakan protes di bangunan tersebut, semalam. Pemangku Menteri Pengangkutan membuat pengesahan tersebut pada sesi sidang media hari ke-19 sejak kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 pada 8 Mac lalu.

Semalam, media melaporkan terdapat ratusan ahli keluarga penumpang dari China yang berhimpun di hadapan kedutaan Malaysia di sana untuk menunjukkan protes mereka di atas perkembangan misi mencari dan menyelamat pesawat MH370.

Pesawat yang membawa 227 penumpang itu terdiri daripada 153 penumpang dari China dan selebihnya dari 13 negara lain termasuk Malaysia dengan 38 penumpang serta 12 anak kapal yang terlibat dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing itu.


Oleh: AUDREY LEE


Sumber: http://adf.ly/glKJh

Bayi Lahir, Mati Dalam Pesawat Dari Hong Kong Ke New York

Bayi





Tokyo – Seorang bayi mati selepas dilahirkan pramatang dalam pesawat Cathay Pacific dari Hong Kong ke New York.

Menurut sumber, ibu bayi berkenaan yang sarat mengandung dibenarkan menaiki pesawat terbabit oleh doktor.

Namun mula sakit bersalin selepas kapal terbang itu berlepas.

Penerbangan itu terus dialihkan ke Tokyo manakala wanita itu dan anaknya dikejarkan ke hospital, namun bayi itu disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian. – Agensi


Sumber: http://adf.ly/glKJh


MH370: Krew, Penumpang ISLAM Pulak Dituduh Terlibat!

2603DakwaMuslim


RANCANGAN Young Turks iaitu satu saluran berita online telah membuat dakwaan melampau bahawa peristiwa melibatkan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 adalah berkemungkinan besar disebabkan oleh penumpang dan anak kapal pesawat berkenaan yang beragama Islam.

Program online di YouTube itu yang dikendalikan oleh pengacara Cenk Uygur memetik beberapa laporan stesen berita antarabangsa Fox News yang didakwanya lambat menyedari bahawa kemungkinan insiden MH370 disebabkan orang Islam.

Beliau turut membuat dakwaan melampau dengan mengatakan di akhir rakaman video itu bahawa penganut Islam itu adalah berpotensi untuk menjadi pengganas.

Cenk turut menyiarkan statistik hasil bancian di Malaysia yang menunjukkan Malaysia mempunyai penduduk beragama Islam yang majoriti dengan 61.3 peratus daripada keseluruhan penduduk Malaysia.

Tindakan membuat dakwaan melampau itu sebenarnya biasa dari agensi berita asing
tambahan pula selepas kejadian 11 September 2001 yang mana penganut Islam dilihat sebagai pengganas di seluruh dunia.


Oleh : AIRY ARIS





Sumber: http://adf.ly/glKJh